FORUM PARAMEDIK
Selamat melayari Forum Paramedik,

Dengan mendaftar keahlian di Forum Paramedik, anda akan mendapat lebih informasi dan juga boleh berkomunikasi dengan ahli-ahli forum yang lain.

meriahkan forum paramedik dengan mendaftar keahlian anda disini.

Terima Kasih.

JAPANESE Encephalitis

- sumber : utusan online
 
Apa itu JE?
 
JE adalah sejenis penyakit yang disebabkan oleh virus yang disebarkan melalui gigitan nyamuk Culex.

Tanda-tanda penyakit JE
* Demam
*Sakit kepala
* Lemah anggota badan
* Resah meracau
* Mengantuk
* Sawan
* Lumpuh
* Tidak sedarkan diri/koma.
 

Kebanyakan pesakit yang dijangkiti oleh virus ini akan mempamerkan tanda-tanda yang ringan sahaja atau mungkin juga, tiada gejala sama sekali.
 
Bagaimanapun, pada peringkat yang lebih teruk, JE boleh *menyebabkan kematian.
Jika seseorang itu dijangkiti JE, mereka lazimnya akan bermula dengan simptom-simptom seperti selesema, sakit kepala, demam dan tidak bermaya.
 
Ini mungkin akan disusuli dengan masalah gastrousus seperti muntah serta berasa keliru dan meracau-racau.
 
Adalah dianggarkan, dalam setiap 200 kes, satu daripadanya akan berkembang menjadi keradangan otak atau otak membengkak yang ditandai dengan demam tinggi, kejang leher, sawan dan sebagainya.
 
Berdasarkan data yang diperoleh daripada WHO, kadar kematian di kalangan pesakit yang menunjukkan gejala mencecah 60 peratus manakala 30 peratus di kalangan pesakit yang hidup pula, menderita kerosakan sistem saraf pusat yang berpanjangan.
Mereka antara lain terpaksa berdepan masalah jangka panjang seperti kesukaran menggerakkan tangan dan kaki, menggeletar, lumpuh, gagal mengawal perasaan dan gangguan mental termasuk skizofrenia.
 
 
Bagaimanakah JE merebak?
 
Virus JE membiak di dalam tubuh khinzir (perumah pengganda). Apabila nyamuk betina Culex menghisap darah khinzir, ia membawa bersama virus JE.
Selepas 14 hari, nyamuk ini berupaya untuk menyebarkan virus JE kepada perumah baru iaitu khinzir.
 
Manusia boleh mendapat jangkitan JE jika digigit oleh nyamuk Culex yang membawa virus. Namun manusia adalah perumah terakhir.
Tempoh pengeraman iaitu dari jangka masa seseorang itu mulai dijangkiti sehingga gejala-gejala JE muncul mengambil masa di antara empat hingga 16 hari.
Penyakit JE tidak boleh merebak daripada manusia kepada manusia. Misalnya, seseorang itu tidak boleh dijangkiti oleh virus sekiranya ia bersentuhan, bersalam atau mencium pesakit JE.
 
Begitu juga, seseorang itu tidak akan dijangkiti daripada petugas kesihatan yang merawat pesakit JE. Penyakit ini juga tidak akan menular dengan memakan daging khinzir.
Tabiat nyamuk pembawa JE
 
Hanya nyamuk Culex sahaja boleh merebakkan penyakit JE. Ia membiak di tempat takungan air semula jadi yang kotor seperti kolam, lopak air, parit dan sawah padi.
Nyamuk Culex biasanya menggigit pada waktu senja hingga subuh iaitu di antara pukul 6.30 petang hingga 6.30 pagi. Nyamuk Culex lebih gemar menggigit khinzir daripada manusia.

Diagnosis
 
Ensefalitis boleh berpunca daripada pelbagai sebab. Oleh itu, mendiagnosis JE memerlukan penyiasatan darah dan cecair tulang belakang yang khusus. Ia selalunya dilakukan di hospital.
 
Sumber: Pertubuhan Kesihatan Sedunia; Pendidikan Kesihatan, Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit, Amerika Syarikat (AS); Yayasan Mayo bagi Pendidikan dan Penyelidikan Perubatan; Pusat Tentera AS bagi Promosi Kesihatan dan Perubatan Preventif; British Columbia Ministry of Health; Health A to Z dan; Patient UK.
 
 
Rawatan
 
Sehingga kini, JE tiada penawarnya.
Pesakit akan dimasukkan air untuk mengurangkan dehidrasi manakala ubat-ubatan diberikan untuk melegakan demam dan kesakitan yang dialami.
Pesakit yang koma akan diberikan bantuan pernafasan.
Bagaimanapun, terdapat vaksin yang berupaya menentang serangan virus JE. Seperti ubat-ubatan lain yang tidak bebas daripada kesan sampingannya yang tersendiri, vaksin JE tidak terkecuali walaupun tidak ketara.
 
Antaranya alahan, kemerah-merahan dan bengkak pada tempat suntikan, loya, muntah dan beberapa lagi. Wanita hamil dan menyusukan bayinya dilarang daripada menggunakan vaksin berkenaan.
 
Para pelancong atau individu yang ingin mengembara ke sesebuah negara yang berisiko tinggi melebihi sebulan, terutama sekali di kawasan pedalaman, adalah sangat digalakkan mengambil vaksin JE.
 
 
Siapakah yang perlu mendapatkan suntikan vaksin JE?
 
* Mereka yang tinggal di kawasan pedalaman di mana JE sering berlaku
* Pekerja ladang khinzir mahupun mereka yang tinggal dalam lingkungan dua kilometer dari ladang khinzir, terutama sekali kanak-kanak
* Pelancong ke kawasan yang berpenyakit (sangat kecil risikonya).
 
 
Jadual pemberian vaksin
 
* Dos pertama
* Dos kedua - hari ke-7 hingga ke-14 selepas dos pertama
* Dos ketiga - 6 bulan hingga 1 tahun selepas dos kedua
* Dos tambahan - tiga tahun selepas dos ketiga.
Jumlah dos dan julat masa pemberian dos-dos adalah berbeza di antara seseorang dengan yang lain.
 
 

Langkah-langkah pencegahan
 
* Elakkan daripada digigit nyamuk
* Musnahkan tempat-tempat pembiakan nyamuk
* Tidur di dalam kelambu
* Gunakan racun serangga seperti lingkaran nyamuk, repelen yang disapu pada badan atau pakaian ketika berada di luar rumah, penyembur aerosol dan lain-lain.
* Memasang jejaring nyamuk pada tingkap
* Memakai baju lengan panjang dan seluar panjang berwarna cerah semasa melakukan aktiviti luaran atau berada di sekitar kandang khinzir
* Menyediakan saluran perparitan yang sempurna
* Menimbus lopak-lopak air
* Menjaga kebersihan sekitar ladang ternakan khinzir
* Membuat semburan racun serangga di sekitar ladang khinzir.