FORUM PARAMEDIK
Selamat melayari Forum Paramedik,

Dengan mendaftar keahlian di Forum Paramedik, anda akan mendapat lebih informasi dan juga boleh berkomunikasi dengan ahli-ahli forum yang lain.

meriahkan forum paramedik dengan mendaftar keahlian anda disini.

Terima Kasih.


MALARIA
 
Oleh: CHE FARRAH AZURA BT. CHE ABDUL RAHMAN
Artikel dicetak dari website: http://pkukmweb.ukm.my/
 
 
ISI KANDUNGAN
1) PENDAHULUAN
2) DEFINASI
3) FAKTOR PENYEBAB
4) SEJARAH MALARIA
5) JENIS PARASIT
6) KITAR HIDUP PARASIT
7) SIMPTON MALARIA
8) DIAGNOSIS
9) RAWATAN
10) KAWALAN
11) PENUTUP
 
 
MALARIA
 
 
PENDAHULUAN
 
"Malaria Membawa Maut," Banyak Lagi Malaria Dikesan", "Kerajaan Menyeru Orang Ramai Supaya Membasmi Malaria", adalah antara tajuk-tajuk yang sentiasa menghiasi dada akhbar-akhbar tempatan sejak kebelakangan ini . Sudah menjadi adat manusia yang akan bersikap acuh tak acuh bagi sesuatu perkara itu sehinggalah ianya menjadi kronik. Begitulah juga yang terjadi kepada penyakit ini.
 
Ramai yang telah menyedari bahawa Malaria adalah penyakit yang membawa maut. Berdasarkan kajian yang telah dibuat, penyakit ini tersebar luas di kawasan tropika dunia terutamanya di Sahara Afrika . Kira-kira 300 hingga 500 juta manusia terkena jangkitan Malaria setahun yang mengakibatkan 1 hingga 2 juta manusia maut terutamanya kanak-kanak. Selain daripada itu, Malaria memainkan peranan penting dalam menentukan menang atau kalah sepasukan tentera itu dalam peperangan. Contohnya pada tahun 1943, sebanyak 10% daripada tentera Amerika Syarikat yang berkhidmat di seberang laut telah mendapat jangkitan Malaria menyebabkan mereka kalah kepada tentera Rusia.
 
 
DEFINASI
 
Malaria adalah satu istilah yang diperkenalkan oleh Dr. Francisco Torti pada abad ke 17. Ianya berasal dari perkataan Itali iaiti Mal = kotor manakala Aria = udara ataupun ‘udara kotor’.
 
 
FAKTOR PENYEBAB
 
Penyakit ini berkaitan dengan kawasan paya di kawasan Tropika kerana keadaan cuaca yang baik akan memberikan habitat yang sesuai untuk pembiakan nyamuk yang menjadi vektor tularan kepada penyakit ini. Selain daripad itu, peningkatan suhu dunia juga menjadi salah satu faktor penyebab berlakunya penyakit Malaria.
 
 
SEJARAH MALARIA
 
Pada zaman purba, Malaria telah mula menjangkiti manusia pada zaman tersebut. Pernyataan ini terkandung dalam buku pada zaman Greek iaitu Hippocrates. Dalam buku tersebut menyatakan penyakit ini disebabkan oleh ketidakseimbangan empat perkara yang berada dalam tubuh manusia iaitu kahak, cecair kuning, cecair hitam dan darah. Ketidakseimbangan ini berlaku apabila pada waktu malam cacing yang tidak kelihatan akan masuk dalam badan pesakit dan akan mengganggu keseimbangan tersebut. Maka rawatan untuk pesakit ini adalah dengan cara mengeluarkan darah yang telah tercemar dengan cacing yang tidak kelihatan ini, menyelubungkan pesakit dengan kain lembab dan pesakit hendaklah berehat dengan secukupnya.
 
Tetapi pada tahun 1989, keadaan penyakit yang sebenar diketahui apabila seorang pakar bedah Perancis, Alphonse Laveran telah mengenal pasti bahawa Malaria disebabkan oleh parasit protozoa dalam sel darah merah atau eritrosit manusia. Parasit ini merupakan organisma satu sel dan berada dalam kumpulan genus Plasmodium. Kejayaan beliau ini telah melayakkan beliau menerima ‘Nobel Prize’. Tetapi penemuan beliau ini tidak lengkap. Kajian terus dijalankan sehinggalah pada tahun 1902, seorang doktor perubatan Britain, Ronald Ross telah menemui satu penemuan baru berkenaan parasit ini yang melayakkan beliau menerima ‘Nobel Prize’. Beliau menemui satu lagi peringkat kitar hidup parasit ini yang berlaku dalam nyamuk betina kumpulan genus Anopheles spp. yang bertindak sebagai vektor mekanikal kepada parasit tersebut. Beliau juga telah membuktikan bahawa parasit ini boleh dipindahkan ke dalam tubuh manusia melalui gigitan nyamuk yang membawa parasit ini, melalui perkongsian jarum suntikan dan melalui pemindahan darah yang mengandunginya.
 
 
JENIS PARASIT
 
Terdapat empat spesies utama parasit ini iaitu:-
Plasmodium falciparum,
Plasmodium vivax,
Plasmodium ovale dan
Plasmodium malarie.


Diantara keempat-empat jenis parasit ini, hanya Plasmodium malarie yang menunjukkan gejala yang berulang setiap 72 jam manakala tiga spesies yang lain menunjukkan gejala berulang setiap 48 jam.
 
 
KITAR HIDUP PARASIT
 
Kitar hidup parasit Malaria adalah tidak langsung yang mana ianya memerlukan dua perumah iaitu nyamuk dan manusia. Nyamuk adalah perumah tetap bagi parasit ini kerana parasit ini melakukan pembiakan seks dalam badan nyamuk. Manakala manusia adalah perumah perantaraan kerana parasit ini melakukan pembiakan aseks dalam tubuh manusia. Manusia mendapat jangkitan apabila nyamuk Anopheles betina menghisap darah manusia dan memindahkan sporozoit yang bergerak bebas. Sporozoit ini akan menyerang eritrosit yang terdapat di hati. Di dalam sel ini, sporozoit membahagi ke bentuk yang lebih kecil yang dinamakan merozoit. Peringkat ini dinamakan peringkat praeritrositik. Eritrosit yang mengandungi merozoit ini akan pecah atau lisis di mana setiap satu merozoit ini akan menyerang eritrosit yang lain. Merozoit ini akan terus berkembang dalam eritrosit sehingga membentuk 8 hingga 20 merozoit baru. Apabila merozoit telah matang , eritrosit akan pecah dan membebaskan lebih banyak merozoit. Pada ketika ini toksin juga dibebaskan yang akan mengakibatkan seseorang itu mengalami demam sejuk panas. Merozoit yang baru terbentuk ini akan terus menyerang eritrosit lain dan seterusnya kitar ini akan berulang. Peringkat ini dinamakan peringkat eritrositik.
 
Ada sesetengah merozoit ini yang akan terus berkembang membentuk gametosit. Pada peringkat ini, gametosit ini akan mati jika pada masa itu tidak ada nyamuk Anopheles betina yang menghisap darah pesakit tersebut. Tetapi jika pada masa tersebut ada nyamuk Anopheles betina yang menghisap darah manusia yang telah terjangkit , gametosit ini akan masuk dalam nyamuk tersebut dan melakukan pembiakan seks di mana gametosit jantan dan betina akan bersenyawa dan seterusnya membentuk zigot. Zigot ini akan terus berkembang dan akhirnya membentuk sporozoit. Sporozoit ini kemudiannya berpindah ke kelenjar air liur nyamuk dan bersedia untuk di tularkan kepada manusia lain.
 
 
SIMPTON MALARIA
 
Apabila seseorang manusia itu mendapat Malaria, simpton-simpton yang di tunjukkan ialah demam Malaria. Demam Malaria ini merujukkan kepada demam sejuk panas yang berlanjutan antara 4 hingga 10 jam. Selain itu pesakit juga akan mengalami anemia ataupun kekurangan eritrosit. Ini terjadi kerana banyak eritrosit yang pecah akibat daripada serangan merozoit. Selain itu juga pesakit ini menunjukkan simpton-simpton seperti hati dan limfa besar. Ini berlaku kerana apabila eritrosit pecah, ianya akan membebaskan ferum dalam badan. Sudah menjadi sifat hati yang akan menyerap balik ferum tersebut untuk membina semula eritrosit. Tetapi jika terlalu banyak eritrosit yang pecah, banyaklah ferum yang akan dibebaskan, maka hati akan menyerang lebih banyak ferum dan menjadi terlampau aktif dalam menghasilkan eritrosit mengakibatkan hati membengkak. Selain daripada itu juga, seseorang pesakit itu menunjukkan simpton kencing berdarah. Ini berlaku akibat daripada pemecahan eritrosit yang terlalu banyak menyebabkan banyak hemoglobin (hb) yang terbebas. Ciri hemoglobin adalah bewarna merah. Hemoglobin ini akan masuk ke salur uretra dan akan dikumuhkan bersama air kencing maka air kencing seseorang pesakit itu akan bewarna merah ataupun lebih dikenali sebagai kencing berdarah. Dalam keadaan ini, air kencing pesakit itu dikatakan mengandungi hemoglobin uria. Malaria otak juga adalah salah satu gejala yang akan diperolehi oleh pesakit Malaria. Seperti yang kita sedia maklum otak adalah satu organ yang sentiasa memerlukan bekalan oksigen bagi mengawal aktiviti-aktiviti yang dilakukan oleh tubuh manusia. Darah juga sentiasa dibekalkan ke otak melalui salur darah yang sempit. Apabila eritrosit diserang jangkitan parasit ini terutama sekali Plasmodium falciparum, jangkitan ini menyebabkan eritrosit menjadi melekit dan akan bergumpal antara satu sama lain. Keadaan eritrosit yang tergumpal ini akan menyebabkan salur darah yang berada di otak tersumbat mengakibatkan salur darah ini pecah. Maka pendarahan berlaku di otak yang akan menyebabkan pesakit ini koma seterusnya membawa maut.
 
 
DIAGNOSIS
 
Malaria boleh dikesan dengan mengambil sampel darah pesakit dan dilihat di bawah mikroskop elektron untuk mengenal pasti kehadiran parasit tersebut. Selain daripada itu antibodi pesakit juga diuji untuk mengenal pasti pembentukan antibodi yang spesifik terhadap parasit tersebut. Ini adalah untuk mengesan jenis parasit Malaria yang telah menular di dalam tubuh seseorang pesakit.
 
 
RAWATAN
 
Rawatan yang paling berkesan untuk mengubat penyakit Malaria dengan menjadikan kulit kayu pokok kuinin sebagai ubat. Pokok kuinin atau nama sainsnya Cinchona officinalis, pada mulanya di Pergunungan Andes. Hakikat itu disedari apabila penduduk kawasan tersebut tidak dijangkiti Malaria. Pada ketika itu mereka menjadikan kulit kayu pokok kuinin dalam bentuk serbuk. Serbuk itu kemudiannya ditambah air dan diminum. Walaupun rasanya pahit, ianya amat mujarab. Pokok ini hidup di kawasan yang mempunyai banyak hujan pada ketinggian 1000 hingga 8000 meter. Ianya mengandungi bahan kimia alkaloid yang dipanggil kuinin dan hanya sangat berkesan untuk membunuh parasit yang berada di dalam eritrosit tetapi ianya tidak dapat mengubati seseorang pesakit Malaria sepenuhnya. Walaubagaimanapun jika seseorang pesakit ini mengambil ubat ini secara berterusan, ianya akan memberi kesan sampingan ke atas pesakit ini seperti menyebabkan buta, pekak, ruam kulit dan sakit perut.
 
Penemuan pokok ini telah mencetuskan idea kepada pihak kerajaan Amerika Syarikat untuk mencipta sejenis vaksin anti-Malaria sintetik. Maka pada pertengahan tahun 1940, mereka telah berjaya mencipta vaksin sintetik tersebut contohnya Klorokuinin, Parakuinin, Vaksin Spt 66 dan Vaksin SB (Smith Klein Beecham). Walaubagaimanapun sudah menjadi lumrah alam, hasil ciptaan manusia pasti ada kelemahannya, begitu juga dengan vaksin ini kerana parasit Malaria terutama sekali Plasmodium falciparum telah menjadi rintang terhadap parasit tersebut. Selain daripada itu juga, vaksin ini agak mahal maka ianya tidak mampu dibeli oleh orang-orang yang berpendapatan rendah. Bagi pesakit yang pulih pula, risiko untuk mendapat penyakit ini kembali amat tinggi. Selain daripada itu, bekas pesakit ini juga akan mengidap anemia akibat daripada kekurangan eritrosit dan juga mungkin menghadapi masalah kemandulan.
 
 
KAWALAN
 
Terdapat tiga jenis kawalan yang boleh diambil oleh seseorang itu untuk mengelakkan diri dari dijangkiti Malaria. Pertama, kawalan profilaksis iaitu individu boleh mengambil dahulu vaksin tertentu untuk mempertahankan diri sebelum dijangkiti Malaria. Kedua, kawalan vektor iaitu dangan menggunakan racun serangga dalam rumah seperti B. Thuringiensis untuk menghapuskan larva nyamuk ataupun dengan memelihara ikan yang boleh memakan larva tersebut. Ketiga, kawalan peribadi iaitu dengan menggunakan bahan semburan anti-nyamuk, lingkaran ubat nyamuk atau kelambu berubat yang mengandungi pyrethroid.
 
 
PENUTUP
 
Oleh itu, langkah berjaga-jaga sangat perlu dalam menghadapi kehidupan seharian seperti menjaga nilai kehidupan individu, keluarga serta masyarakat agar taraf kesihatan lebih terjamin. Beringatlah sebelum kena! Sesungguhnya pencegahan awal lebih baik daripada mengubati.
 
 
RUJUKAN
CROMPTON and JOYNER, 1980 – Parasitic Worms – Wykeham Publication Ltd. London.
CROMPTON, 1984 – Parasities and People- Macmillan publisher Ltd. London.
ARBAIN KADRI: Parasitologi Asas, DEP.
 
PAKEER OOTHUMAN: Protozoa Perubatan Bergambar, UKM

A. WAHAB: Artropoda Sebagai Vektor Penyakit, DEP.