FORUM PARAMEDIK
Selamat melayari Forum Paramedik,

Dengan mendaftar keahlian di Forum Paramedik, anda akan mendapat lebih informasi dan juga boleh berkomunikasi dengan ahli-ahli forum yang lain.

meriahkan forum paramedik dengan mendaftar keahlian anda disini.

Terima Kasih.

Penyakit Anjing Gila (Rabies )
 
Agen Penyebab : Virus Rabies
 
* Boleh menyebabkan gangguan pada susunan saraf pusat
* Selain dari anjing binatang (Liar) lain juga boleh menjadi pembawa kepada penyakit ini antaranya kera, kelawar DLL
 
Tempoh Pengeraman :
- 10 hari - 7 bulan
 
Tanda dan Gejala :
  • demam ringan, sakit kepala, tiada selera makan, lemah, mual, muntah, sakit pada tempat gigitan.
  • gejala diatas akan berlaku dengan cepat dan diikuti dengan tubuh menjadi kaku, kejang otot pernafasan
  • boleh menyebabkan kematian

Rawatan

 

- imunisasi pasif dengan memberi serum anti rabies. iminisasi boleh diberikan untuk mencegah dari terkena penyakit ini.

 

Pencegahan

  • Elakkan dari digigit binatang liar
  • Jika digigit - terus berjumpa Pegawai Perubatan
  • Lakukan sampel dan pemeriksaan laboratorik terhadap haiwan yang di syaki dijangkiti.
 
_________________________________

Artikel Berkaitan

Sumber Utusan Malaysia (03/04/2005)

Anjing - Gigitan boleh bawa maut


KELLY Voigt hanya bermain-main di laman rumahnya apabila anjing kepunyaan jirannya mula menerkam dan menggomol ganas anak kecil yang genap sebulan lagi bakal menyambut hari lahirnya yang ketujuh itu.


Kelly sama sekali tidak menyangka, anjing tersebut yang sebelum ini bukan setakat berbalas jelingan manja tetapi juga mesra dengan seisi keluarganya, nah! pada hari itu telah menyebabkannya berakhir di tangan pakar bedah plastik.


Daging muka dan lehernya yang koyak rabak itu memerlukan lebih 100 jahitan dan dua tahun rawatan susulan.


Lebih teruk lagi adalah parut yang mencalarkan emosinya sehingga memerlukan Kelly menerima terapi psikologi akibat trauma yang dialaminya. Peristiwa hitam itu sudah enam tahun berlalu.


Dan kini, dalam usianya yang semuda 13 tahun, Kelly terus meraih populariti terutamanya di kalangan kanak-kanak di Amerika Syarikat sebagai seorang pakar merangkap aktivis dalam mempromosikan langkah-langkah keselamatan daripada digigit anjing.


Malah, Kelly bersama-sama dengan ibunya serta seorang pakar psikologi dan Casey - seekor anjing, membuka sebuah badan bukan kerajaan dengan subjek khusus mencegah gigitan anjing.


``Saya telah mengambil keputusan untuk melakukan tugas ini sehingga ke akhir hayat saya.


``Niat saya adalah untuk membantu kanak-kanak lain agar tidak menjadi mangsa sebagaimana trauma yang telah saya lalui,'' katanya.


Mungkin, itu bukanlah sesuatu yang menghairankan di AS memandangkan populasi anjing yang hampir menyamai jumlah penduduk negara itu sendiri iaitu sebanyak lebih kurang 62 juta ekor. Satu per tiga daripada rakyat AS memiliki anjing.


Walaupun menjadi satu perniagaan yang menguntungkan, syarikat-syarikat insurans dalam masa yang sama terpaksa menanggung tuntutan liabiliti gigitan anjing yang mencecah nilai AS$1 bilion.


Pendek kata, anjing di AS sering keluar masuk mahkamah. Kalau bukan anjing tersebut menerima hukuman mati bagi kes-kes yang serius ataupun setelah diberikan peluang kedua, nasib tidak baik, tuan anjing yang akan menjadi galang gantinya, dikenakan pertuduhan membunuh kelas kedua.


Mengikut perangkaan yang dikeluarkan oleh Pusat Kawalan Penyakit AS, 4.7 juta rakyatnya digigit anjing pada setiap tahun yang mana antara 12 hingga 20 orang tidak dapat diselamatkan.


Daripada 4.7 juta itu, 60 peratus daripada mereka terdiri daripada kanak-kanak berusia 12 tahun ke bawah dengan sasaran utama adalah pada bahagian muka.


Kenyataan Persatuan Perubatan Veterinari Amerika menyifatkan serangan anjing sebagai wabak kesihatan orang awam nombor satu di kalangan kanak-kanak, mengatasi gabungan kes campak dan beguk.


Pakar Runding Pediatrik (Kanak-Kanak), Hospital Pusrawi, Kuala Lumpur, Dr. Kamaruddin Ahmad berkata, gigitan anjing yang minor seperti luka yang tidak dalam serta calar boleh dirawat di rumah sahaja.


``Cuci luka berkenaan menggunakan air dan sabun dengan lembut.


``Kenakan sedikit tekanan terhadap kawasan yang luka dengan tuala bersih bagi memberhentikan pendarahannya,'' katanya.


Beliau yang turut bertindak sebagai pengarah perubatan pusat rawatan berkenaan berkata, langkah seterusnya ialah dengan melumur salap antibiotik dan membalutnya.


Bagi mengurangkan bengkak dan mengelakkan sebarang kemungkinan jangkitan, sapukan ketulan ais dan tinggikan bahagian yang tercedera di atas paras jantung.


Luka berkenaan hendaklah dicuci dan disapu dengan ubat dua kali sehari sehingga ia sembuh.


Dr. Kamaruddin berkata, mangsa hendaklah segera berjumpa doktor sekiranya pendarahan tidak berhenti selepas 15 minit diberikan tekanan.

Mangsa juga perlu berjumpa doktor dengan segera sekiranya gigitan memberikan kesan yang dalam, digigit pada bahagian kepala, tangan atau kaki.


Begitu juga dengan gigitan yang menembusi ke tulang, menyebabkan kerosakan saraf atau mengakibatkan sebarang kecederaan major lain.

``Mangsa juga perlu mengawasi tanda-tanda jangkitan seperti demam, kemerah-merahan, bengkak, panas, sakit jikalau tersentuh dan nanah di sekitar tempat luka.


``Bagi pesakit kencing manis dengan AIDS atau kanser juga perlu mendapatkan rawatan perubatan tidak kira berapa kecil pun gigitannya,'' kata beliau.


Individu yang tidak mendapat suntikan tetanus (kancing gigi) dalam tempoh lima tahun dan barang siapa yang mempunyai masalah kesihatan yang meningkatkan kemungkinan jangkitan perlu melakukan perkara yang sama, tambahnya.


Menurut beliau, rawatan perubatan bagi gigitan anjing antara lain melibatkan pembersihan luka dengan rumusan antijangkitan.


Pembuangan tisu rosak dan telah mati sama ada di bawah pembiusan separuh atau sepenuhnya mungkin diperlukan sebaik luka dicuci.


Dalam pada itu, suntikan perangsang juga akan diberikan kepada mana-mana individu yang mana suntikan tetanusnya sudah lama tidak diambil.


``Sesetengah luka akan dibiarkan terbuka dan membolehkannya sembuh dengan sendirinya manakala sesetengahnya memang memerlukan jahitan.

``Jahitan mungkin akan ditangguhkan selama kira-kira sejam kerana kes jangkitan lebih mudah berlaku jika luka dijahit dengan segera,'' katanya.

Antibiotik, biasanya dipreskripsikan kepada semua mangsa gigitan anjing terutamanya jika terdapat kemungkinan jangkitan.


Mangsa perlu dibedah dan dimasukkan ke hospital sekiranya membabitkan gigitan yang teruk.


Beliau menegaskan, rawatan susulan adalah sangat penting kepada mangsa gigitan anjing kerana jika jangkitan berlaku, rawatan awal boleh diberikan.


Sepsis, endokarditis, meningitis, abses (himpunan nanah) dalam otak dan artritis septik merupakan komplikasi teruk yang boleh berlaku walaupun potensinya sangat rendah.


Bagaimanapun, kata Dr. Kamaruddin, rawatan segera dan menyedari bahawa luka yang kecil boleh membawa kepada keadaan yang lebih serius merupakan kunci utama kepada penyembuhan selepas gigitan anjing.

``Selain anjing, gigitan binatang mamalia lain seperti kelawar boleh mengorbankan nyawa sekiranya diabaikan.


``Beberapa bakteria yang boleh menyebabkan jangkitan akibat gigitan anjing adalah rabies (anjing gila), kancing gigi dan difteria,'' katanya.

Oleh itu, ujar beliau, usaha mencari semula anjing yang menggigit sampai dapat adalah sangat penting bagi memastikan sejauh manakah mangsa berisiko mendapat jangkitan virus rabid.


Penyakit anjing gila atau turut dikenali sebagai hidrofobia merupakan suatu penyakit virus pada sistem saraf pusat yang mungkin ditularkan kepada manusia melalui gigitan anjing berjangkit.


``Gejala-gejalanya termasuklah dedar, demam, kesukaran bernafas, pengliuran dan spasma otot kerongkong yang sakit apabila menelan.

``Pada peringkat kemudian, hanya pandangan pada air sahaja akan menyebabkan konvulsi dan kelumpuhan dengan kematian terjadi dalam tempoh empat ke lima hari,'' katanya.


Jangka masa pengeraman purata selepas digigit adalah antara empat hingga enam minggu tetapi boleh berubah-ubah daripada beberapa hari hingga setahun lamanya.Virus anjing gila yang ditularkan menerusi luka, akan menjangkiti saraf periferal dan `mengembara' ke korda spina sehinggalah sampai ke sistem saraf pusat.


Selepas melalui proses pembahagian di dalam otak, virus tersebut akan berhijrah pula ke kelenjar air liur dan serentak dengan itu pesakit hilang keupayaan menelan sekali gus menyebabkan air liur meleleh.


``Vaksinasi untuk mencegah penyakit anjing gila memang ada namun, sekali penyakit itu menyerang, jawabnya adalah kematian disebabkan oleh ensefalopati, sejenis penyakit yang mempengaruhi fungsi otak.


``Suntikan imunisasi berkenaan hanya akan diberikan jika terdapat peluang tipis pesakit terdedah kepada penyakit tersebut,'' ujar Dr. Kamaruddin.


Mungkin kerana peningkatan kadar jenayah dan keganasan telah mendorong orang awam untuk memilih anjing lebih besar dan daripada kacukan yang lebih agresif. Gigitannya juga sudah tentu besar.


Sekiranya pemilik anjing tidak bertanggungjawab, binatang yang menjadi teman akrab mereka sekalipun boleh bertukar musuh paling berbahaya.


Ia bukan masalah German Shepherd, Rottweiller, Pit bull, Chow, Bull Terrier, Cocker Spanial, Collie, Doberman Pinsher, Malamute, Great Dane, Silberian Husky, Shar-Pei dan lain-lain. Ia sebenarnya adalah masalah manusia.