Demam kepialu merupakan sejenis penyakit yang boleh mengancam nyawa disebabkan oleh bakteria Salmonella thypi (S. thypi).
Demam kepialu pembawa mungkin `sihat'
Oleh: SHAFINAZ SHEIKH MAZNAN
Sejarah
KASIHAN Mary Mallon... penghijrahannya seorang diri dari Ireland ke Amerika Syarikat (AS) ketika berusia 14 tahun hanyalah dengan satu tujuan, demi mencari sesuap nasi.
Tetapi, kasihan lagi mereka yang memakan hidangan hasil tangan tukang masak yang pernah dicap sebagai wanita paling berbahaya di AS ini.
Dia begitu dibenci ketika itu sehingga ada akhbar yang menggambarkan Mary di dapur sambil sebelah tangannya memegang kuali manakala sebelah lagi memasukkan tengkorak manusia ke dalamnya.
Ke mana sahaja Mary pergi, beberapa orang jatuh sakit dan mati di tangannya. Apa, teruk benarkah masakan Mary?
Air tangan Mary sebenarnya mampu menyediakan hidangan yang cukup menyelerakan. Malangnya, ia membawa sejenis kuman pembawa maut - bakteria Salmonella typhi (S. typhi).
Mary pada mulanya menjadi tukang masak di rumah orang kaya di Mamaroneck, New York pada tahun 1900 sebelum berpindah ke Manhattan.
Kedua-dua keluarga majikannya itu mendapat demam dan cirit-birit, sebahagian gejala tifoid atau demam kepialu, manakala seorang tukang cuci meninggal dunia.
Mary kemudiannya bekerja pula dengan seorang peguam dan berhenti selepas tujuh hingga lapan orang ahli keluarga tuannya itu mengalami peristiwa sama.
Persinggahan seterusnya adalah di Long Island di mana dalam masa dua minggu, empat hingga 10 keluarga majikannya dimasukkan ke hospital.
Mary terus bertukar-tukar majikan yang menyaksikan tiga buah keluarga lagi telah dijangkitinya.
Sehinggalah pada tahun 1906 apabila satu wabak ganjil di New York menarik perhatian Dr. George Soper.
Tifoid lazimnya menyerang golongan miskin dan persekitaran kotor. Peliknya, wabak tersebut terjadi di kalangan individu berharta.
Siri penyiasatan Dr. Soper akhirnya menuding kepada seorang tukang masak yang berusia 40-an dan belum berkahwin iaitu Mary.
Dia berjaya dijejaki di sebuah penthouse di Park Avenue di mana penyakit itu sedang aktif.
Dua pembantu rumah terlantar di wad selain turut mengorbankan anak perempuan pemilik kediaman itu.
Sambil bermati-matian menafikan pernah menghidap tifoid, Mary telah memaki Dr. Soper apabila diminta contoh najisnya.
Dia turut mengugut doktor berkenaan menggunakan pisau pemotong daging, memaksa pihak polis dan pegawai kesihatan New York campur tangan membawa kepada penangkapan Mary.
Kerana tidak memahami bagaimana orang sihat sepertinya boleh merebakkan penyakit, Mary cuba melawan balik dan meronta-ronta agar dilepaskan.
Semasa disoal siasat, Mary mengakui dia jarang membasuh tangannya ketika memasak kerana tidak nampak apa keperluannya.
Kultur air kencing dan najisnya yang diambil dengan bantuan matron penjara mengesahkan pundi hempedu Mary dipenuhi dengan S. thypi.
Mary enggan menjalani pembedahan bagi membuang pundi hempedunya itu mahupun berhenti kerja sebagai tukang masak dan tetap berdegil.
``Saya tidak membawa sebarang penyakit,'' tegasnya.
Pihak berwajib terpaksa mengisytiharkan Mary sebagai musuh kesihatan awam nombor satu lalu mengasingkannya di dalam sebuah kotej di Bronx, tanpa dibicarakan. Dia bersumpah menjadi mangsa konspirasi kerajaannya.
Bagaimanapun, dia dibenarkan bekerja sebagai tukang cuci di Hospital Riverside. Pada tahun 1910, Mary dibebaskan dengan jaminan untuk kekal dengan tugasan barunya itu.
Kerana pendapatan yang tidak mencukupi, Mary yang menukar nama keluarganya kepada Brown akhirnya berpaling tadah dan untuk tempoh lima tahun berikutnya, dia terus menularkan penyakit dan menyebabkan kematian dari dapur-dapur tempat dia bekerja.
Semasa suasana kecoh berikutan tercetusnya wabak tifoid serius di kalangan kakitangan Hospital Wanita Sloan yang meragut dua nyawa dengan 25 orang disahkan menghidapinya, Mary menghilangkan diri dari dapur tempat kerjanya.
Tidak lama kemudian, dia berjaya diberkas di Long Island tetapi enggan bekerjasama dengan pegawai kesihatan untuk mengumpul sejarah perubatannya bagi tujuan penyelidikan.
Kedegilannya itu telah menyebabkan Mary dikuarantin seumur hidup di sebuah pulau. Popularitinya ketika itu mengalahkan celebrity.
Mary meninggal dunia pada tahun 1938 akibat radang paru-paru. Bedah siasat mendapati pundi hempedunya masih lagi aktif menghasilkan S. typhi sebelum disemadikan!
Mary Mallon aka Typhoid Mary dikenal pasti sebagai pembawa tifoid pertama yang sihat, tanpa menunjukkan apa-apa tanda penyakit itu.
Bagaimanapun, pakar-pakar percaya, Mallon mungkin pernah beberapa kali mendapat jangkitan yang tidak berbahaya tanpa disedarinya, tetapi setiap kali itu jugalah dia sembuh.
Bakteria itu kekal berada di dalam tubuh badannya dan kerjanya sebagai tukang masak memudahkan perpindahannya kepada orang lain yang memakan masakannya.
Menurut seorang pakar perubatan di salah sebuah pusat perubatan swasta di Pulau Pinang, S. typhi tergolong dalam kumpulan bakteria Salmonella yang diketahui menyebabkan cirit-birit.
``Tifoid adalah penyakit yang serius kerana mengakibatkan komplikasi yang mengancam nyawa, kematian dan penyakit yang boleh terus menular dalam satu-satu komuniti.
``Kebanyakan wabak tifoid dikesan berpunca daripada punca air atau telaga tercemar yang sama,'' katanya.
Menurutnya, kebersihan diri dan sanitasi (penjagaan kebersihan awam) yang tidak diberikan keutamaan meningkatkan risiko penularan penyakit ini.
Tifoid lazim berlaku di Asia dan Afrika. Bagaimanapun, rata-rata kes semasa di AS dan Eropah sebenarnya berpunca daripada pendatang dan para pelancong yang baru kembali dari kawasan yang lebih berisiko tinggi.
Bagaimanakah tifoid merebak?
* Memakan atau meminum makanan atau minuman yang tercemar oleh bakteria S. typhi
* Pembuangan najis di merata-rata tempat
* Hinggapan lalat (lipas dan tikus) yang membawa kuman tifoid.
Sekali bakteria memasuki darah, ia boleh bercambah di mana-mana anggota badan.
Bakteria yang memasuki tubuh seseorang dibawa dalam saluran usus dan darah manusia dan terus membahagi seterusnya, menimbulkan gejala-gejala penyakit.
Simptom-simptom tifoid?
* Mata layu dan cengkung
* Perut meragam dan sakit
* Tiada selera makan
* Lemah lesu
* Sakit kepala yang teruk
* Demam berulang-ulang selama beberapa minggu dengan kepanasan mencecah 39 hingga 40o C
* Sembelit yang diikuti cirit-birit selama dua tiga minggu.
Najis biasanya berwarna hijau terang, turut dikenali dengan nama cirit-birit sup kacang pea.
* Ruam berbentuk bunga ros
* Mengalami delusi dan halusinasi (khayal dan keliru)
* Tidak sedarkan diri dan meracau.
Komplikasi
Tifoid boleh membawa maut lazimnya disebabkan oleh pendarahan dan kebocoran pada usus yang dijangkiti selain kegagalan buah pinggang dan peritonitis.
Pusat Kawalan Penyakit, AS (CDC) menganggarkan, sekurang-kurangnya 20 peratus kes tidak dapat diselamatkan.
Apakah yang dimaksudkan dengan pembawa tifoid?
Seseorang itu mampu menjadi pembawa tifoid tanpa menunjukkan sebarang simptom.
Ini bermakna, individu yang dijangkiti (kadangkala dengan gejala yang ringan) dan sembuh, terus menyimpan bakteria di dalam pundi hempedu.
Dalam kata lain, seseorang itu akan kekal sihat seperti halnya Mary yang menjadi pembawa pertama berjaya dijejaki di AS.
CDC turut menganggarkan antara satu hingga 20 orang yang dijangkiti tifoid masih membawa penyakit itu selepas sembuh.
Diagnos dilakukan melalui ujian contoh darah dan najis.
Rawatan tifoid
Dewasa ini, terdapat ubat-ubatan moden seperti ubat telan dan antibiotik intravena yang boleh digunakan.
Sebelum ini, doktor memberikan ubat chloramphenicol selama 14 hari kepada pesakit.
Walaupun mempunyai keberkesanannya, namun, ia memberikan kesan sampingan terhadap tulang sumsum sehingga menjejaskan penghasilan sel-sel darah.
Adalah penting bagi pesakit menghabiskan dos ubat-ubatan dan mendapatkan rawatan susulan bagi memastikan ia tidak berulang dan mereka bukan pembawa.
Bagaimana pula dengan vaksinasi?
Suntikan imunisasi tifoid boleh dilakukan setiap dua tahun manakala vaksin oral diambil setiap lima tahun.
Bagaimanapun, vaksinasi tidak memberikan jaminan perlindungan 100 peratus.
Langkah-langkah pencegahan
* Minum air yang telah dimasak sahaja. Masak air sekurang-kurangnya lima minit penuh (apabila air sudah masak, biarkan ia selama lima minit lagi)
* Buat air batu menggunakan air yang dimasak.
Sekiranya sedang dalam perjalanan, gunakan air botol atau minuman berdesis berkarbonat tanpa ais.
Anda hendaklah lebih berhati-hati dengan ais kacang atau air batu campur yang menggunakan ais hancur, terutama sekali dalam keadaan sekarang.
* Makan makanan yang baru dimasak. Jika terpaksa makan di kedai, pastikan makanan yang dipesan khas dan berada dalam keadaan `berasap' kerana baru diangkat dari dapur
* Tudung semua makanan dan minuman agar tidak dihinggapi lalat. Letakkan makanan di tempat tinggi
* Gunakan penyepit, senduk, sudu atau garpu bersih untuk mengambil makanan
* Buah-buahan hendaklah dikupas dan dibilas sebelum dimakan
* Cuci tangan dengan sabun dan air bersih sebelum menyedia atau memakan makanan, membuang sampah sarap, memegang bahan mentah atau selepas membuang air besar
Anda akan mendapati insiden tifoid berkurangan dengan amalan ini yang sepatutnya menjadi tabiat seharian dan bukan hanya musim wabak.
* Pilih gerai dan pengendali makanan yang bersih.
Dalam keadaan sekarang, adalah baik sekiranya orang ramai mengelak daripada membeli makanan atau minuman daripada penjaja jalanan terutamanya yang menjual minuman sejuk.
* Hapuskan tempat pembiakan lalat-lalat bagi mengelakkan pembiakan
* Gunakan tandas yang sempurna
* Segeralah berjumpa doktor jika mengalami tanda-tanda dijangkiti tifoid.









