FORUM PARAMEDIK
Selamat melayari Forum Paramedik,

Dengan mendaftar keahlian di Forum Paramedik, anda akan mendapat lebih informasi dan juga boleh berkomunikasi dengan ahli-ahli forum yang lain.

meriahkan forum paramedik dengan mendaftar keahlian anda disini.

Terima Kasih.

Apa itu chikungunya? 

- sumber : utusan online
 
Penyakit demam chikungunya merupakan penyakit endemik (berlaku dengan kerap di sesuatu kawasan atau populasi, sentiasa ada) berpunca daripada virus chikungunya dari keluarga Togaviridae (genus alphavirus).
 
Kes pertama chikungunya direkodkan pada tahun 1952 di Tanzania, Afrika. Mendapat namanya dari bahasa Swahili, chikungunya bererti ‘melengkung ke atas’, merujuk kepada bentuk badan pesakit yang berubah seperti membongkok disebabkan menanggung kesakitan yang teramat.
 
 
Sejauh manakah kekerapannya berlaku?
 
Wabak chikungunya pertama kali dikesan di Afrika Timur, yang berlaku pada tahun 1952 hingga 1953. Sejurus kemudian, epidemik berlaku di Filipina (1954, 1956 dan 1968), Indonesia (1973), Thailand, Kemboja, Vietnam, India, Myanmar, Sri Lanka dan Indonesia.
Sejak tahun 2003, terdapat beberapa wabak berlaku di kepulauan Lautan Pasifik termasuk Madagascar, Comoros, Mauritius dan La Reunion, dengan jumlah kes yang meningkat ketara selepas bencana tsunami pada Disember 2004.
Memetik laporan AFP, sebanyak 148 kematian (secara langsung dan tidak langsung) telah dilaporkan sehingga Mac lalu di La Reunion dengan satu per tiga daripada penduduknya yang berjumlah 777,000 jatuh sakit disebabkan oleh virus itu.
Selain insiden yang mula dikesan penularannya sejak 1 April lalu di Bagan Panchor, Pantai Remis, Perak, negara pernah dilaporkan dua kali menghadapi wabak ini iaitu pada tahun 1999 di Pelabuhan Klang melibatkan 27 mangsa (majoritinya pendatang asing).
Kes chikungunya yang pertama sekali di Malaysia pernah dilaporkan sekitar tahun 1960-an.
 
 
Adakah ini bermakna, individu tertentu lebih rentan terhadap penyakit ini berbanding orang lain?
 
Sesiapa sahaja yang digigit oleh nyamuk yang telah dijangkiti oleh virus ini boleh mendapat penyakit chikungunya.
 
 
Cara penularannya
 
Chikungunya boleh dikatakan ‘bersaudara’ dengan penyakit demam denggi dan demam denggi berdarah kerana ditularkan oleh pembawa yang sama iaitu nyamuk aedes sama ada aegypty mahupun albopictus.
 
Bezanya, jika virus denggi menyerang pembuluh darah, virus chikungunya menyerang sendi dan tulang.
 
Nyamuk aedes lazimnya akan menggigit seseorang yang telah dijangkiti oleh virus chikungunya dan memindahkan darah berkenaan kepada seorang mangsa lain yang sihat.
 
 
Adakah seseorang itu boleh dijangkiti oleh virus chikungunya beberapa kali seumur hidupnya?
 
Tidak. Mana-mana individu yang pernah dijangkiti virus ini secara semula jadinya akan membina daya ketahanan yang bertahan lama.
 
Bagaimanapun, sesetengah daripada mereka mungkin mengalami sakit sendi yang berpanjangan dari beberapa minggu ke bulan lamanya dan berulang-ulang dalam tempoh yang agak lama, disebabkan oleh reaksi sendi dan bukannya jangkitan virus.
Diagnos
 
Chikungunya dikesan melalui ujian darah. Memandangkan kemunculan klinikal bagi chikungunya dan denggi berdarah mirip di antara kedua-duanya, pengesahan makmal adalah penting, apatah lagi di kawasan-kawasan berlakunya kes-kes demam denggi.
 
 
Adakah ia boleh dirawat?
 
Seperti halnya demam denggi berdarah, belum terdapat ubat-ubatan mahupun vaksin bagi mencegah chikungunya. Rawatan sedia ada yang diberikan hanya bersifat simptomatik (sokongan, mengikut gejala bagi melegakannya).
 
Misalnya, pesakit diberikan ubat penurun panas atau penahan sakit. Pesakit dinasihatkan banyakkan minum air dan istirahat yang cukup.
 
Pesakit akan diasingkan dan seboleh-bolehnya elakkan daripada kemungkinan terdedah kepada digigit nyamuk, sebagai salah satu usaha mencegah penyebaran virus itu kepada orang lain.
 
 
Langkah-langkah pencegahan?
 
Memandangkan tiada rawatan aktif mahupun rawatan pencegahan chikungunya, satu-satunya cara mengelakkan jangkitan adalah dengan mengurangkan pendedahan terhadap jangkitan nyamuk ke tahap maksimum.
 
Ini termasuklah memusnahkan sarang pembiakan larva bagi menghentikan rantaian kitar hidup dan penularannya. Antara pelbagai pilihan lain bagi melindungi diri anda daripada gigitan nyamuk termasuklah:
* Tidur menggunakan kelambu
* Pakai baju berlengan panjang atau berseluar panjang terutamanya ketika berada di luar rumah pada waktu senja bagi mengelakkan pendedahan langsung kulit terhadap gigitan nyamuk aedes
* Pasang penghadang nyamuk pada tingkap
* Pasangkan ubat nyamuk lingkaran, elektrik atau menggunakan semburan racun serangga
* Biarkan pengudaraan berlaku sama ada dengan kipas angin atau alat penghawa dingin
* Sapu krim repelen serangga yang disahkan selamat pada kulit dan pakaian.
 
 
Tidakkah nyamuk yang membawa virus chikungunya ini turut dijangkiti oleh penyakit tersebut?
 
Tidak. Bagaimanapun, nyamuk yang membawa darah bervirus di dalam tubuhnya akan kekal terjangkit sepanjang hayatnya. Tiada bukti menunjukkan virus chikungunya dipindahkan oleh nyamuk betina kepada telurnya sebagaimana virus demam denggi.
 
 
Adakah seseorang yang telah dijangkiti boleh menularkan penyakit chikungunya kepada orang lain pula?
 
Tidak. Seseorang yang telah dijangkiti tidak boleh menyebarkan penyakitnya itu secara langsung kepada orang lain. Proses penularan hanya berlaku menerusi nyamuk pembawa.
Tempoh pengeraman
 
Masa di antara gigitan nyamuk pembawa virus chikungunya dengan terjadinya tanda-tanda penyakit chikungunya berlaku di antara satu hingga tujuh hari (paling biasa berlaku dalam tempoh dua hingga empat hari).
 
 
Gejala
 
Simptom-simptom chikungunya secara klinikalnya sangat mirip kepada demam denggi. Ia lazimnya dimulai dengan demam tinggi secara mendadak sehingga mencecah 390 celsius.
Lain-lain gejala termasuklah kesejukan, menggigil, ruam pada kaki, tangan dan badan, kurang selera makan, perut meragam, sakit kepala, mata merah, sedikit fotofobia (sensitif kepada cahaya), loya dan muntah.
 
Gejala paling biasa adalah sakit sendi (artritis atau atralgia) terutamanya di hujung jari, pergelangan tangan dan buku lali, atau rasa ngilu pada tulang.
Seperti penyakit-penyakit arbovirus lain, jangkitan chikungunya juga mungkin tidak menunjukkan sebarang gejala (asimptomatik) atau menyebabkan kesakitan yang teruk dan gejala yang berpanjangan.
 
Mujurlah, chikungunya tidak mematikan seperti denggi berdarah. Ia dikategorikan sebagai penyakit yang sembuh dengan sendirinya. Kalaupun berlaku kematian, ia adalah dalam jumlah yang kecil.
 
Jadi, kenapa perlu bimbang?
 
Dalam tempoh seminggu, pesakit berada dalam keadaan kesakitan yang akut (sangat teruk) sehingga tidak boleh bergerak atau berjalan (kelumpuhan sementara) sekali gus menjejaskan kualiti hidupnya.
 
Pesakit biasanya akan mengalami demam selama lima hingga tujuh hari sebelum beransur-ansur hilang. Ia bagaimanapun boleh berulang kembali.
 
Jangan lupa, chikungunya sekeluarga dengan denggi berdarah. Tambahan pula, gejalanya hampir serupa. Ia juga boleh melemahkan sistem imun tubuh, menyebabkan badan mudah dijangkiti oleh penyakit-penyakit lain.