Universiti untuk jururawat
Sat 29 Mar 2008, 8:25 am by Fieza
Universiti untuk jururawat
KERJAYA kejururawatan perlu lebih daripada itu terutamanya dari segi pembangunan kerjaya dalam sektor awam. - Gambar hiasan
Melihat senario hari ini yang menyaksikan kesedaran tahap
kesihatan yang semakin tinggi, mungkinkah sebuah universiti yang
menawarkan kursus jururawat diwujudkan di Malaysia?
"IMPIAN saya satu hari nanti, Kementerian Pengajian Tinggi akan
menubuhkan sebuah universiti bertaraf antarabangsa yang khusus
menawarkan program pengajian kejururawatan."
Demikian harapan Profesor Madya Rohani Arshad, penerima anugerah Tokoh Jururawat Seri Zamrud 2008.
Anugerah itu pertama kali diadakan oleh Kementerian Kesihatan pada
tahun lalu sebagai menghargai kerjaya kejururawatan di negara ini.
Ia disampaikan oleh Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Mohd
Ismail Merican pada majlis yang diadakan di Hotel Santubong, Kuching,
Sarawak baru-baru ini.
Rohani yang bertugas sebagai Ketua Jabatan Sains Kejururawatan,
Fakulti Perubatan, Universiti Malaya (UM) merupakan Profesor Madya
pertama dalam bidang sains kejururawatan di institusi pengajian tinggi
awam (IPTA) di negara ini.
Beliau berpendapat, penubuhan universiti tersebut adalah langkah
yang tepat ke arah meningkatkan lagi pembangunan aspek akademik dan
kecekapan kerjaya jururawat.
Menurut Rohani, universiti itu boleh mengambil pelajar dan
kakitangan akademik dari negara lain dan pada masa yang sama, ia juga
boleh menjalankan program pertukaran pelajar dan kakitangan akademik
dengan institusi luar negara.
Rohani berkata, Malaysia kini mempunyai 19 buah sekolah dan kolej
kejururawatan awam serta 35 institusi swasta di bidang yang sama.
"Alangkah baik jika kita dapat satukan semua institusi kejururawatan
ini di bawah satu bumbung. Ia boleh menawarkan kursus daripada
peringkat diploma hinggalah sarjana muda, sarjana dan doktor falsafah,"
saran beliau.
Memiliki ijazah Sarjana Sains Kejururawatan dan Pendidikan dari
Universiti Edinburgh, United Kingdom, Rohani menyifatkan penubuhan
universiti sedemikian amat sesuai dengan keadaan masa kini di mana
negara mempunyai 75,000 jururawat yang aktif di perkhidmatan awam dan
sektor swasta.
Kerajaan telah melakukannya untuk golongan guru dengan mendirikan
Universiti Pendidikan Sultan Idris di Tanjung Malim, Perak. Jadi,
kenapa sebuah universiti yang khusus untuk jururawat yang dikendalikan
dan diurus oleh mereka dari bidang kejururawatan itu sendiri dapat
diadakan" soal beliau.
Beliau menambah: "Universiti ini boleh dikendalikan secara penuh
oleh mereka daripada latar belakang kerjaya kejururawatan. Ertinya
semua jawatan dari peringkat pengajar, pensyarah, ketua jabatan, dekan
serta naib canselor adalah mereka daripada bidang kejururawatan," kata
Rohani lagi.
Beliau menjelaskan, sebuah universiti kejururawatan akan dapat memusatkan kesemua pengajian dalam kursus kejururawatan.
"Sudah tentu, universiti ini memerlukan sebuah hospital pengajar
untuk kerja-kerja klinikal, tetapi masalah besar sekarang ialah kita
tidak cukup pensyarah dalam bidang kejururawatan," katanya.
Rohani berkata, kementerian telah mula mengambil langkah yang baik
dengan melantik seorang jururawat sebagai pengarah sebuah hospital umum
di negara ini, misalnya, Hospital Lanau di Sarawak yang kini mempunyai
pengarah yang merupakan seorang jururawat.
"Ini adalah langkah yang positif kerana pihak Kementerian Kesihatan
telah bergerak ke arah memberi perhatian yang lebih terhadap jururawat.
Tetapi kerjaya kejururawatan perlu lebih daripada itu terutamanya dari
segi pembangunan kerjaya dalam sektor awam," tegas beliau.
Rohani mula bertugas di Pusat Perubatan Universiti Malaya pada tahun
1973. Beliau kemudian menjadi pensyarah program sarjana muda
kejururawatan, Fakulti Perubatan UM pada tahun 1999 dan dilantik
Profesor Madya pada tahun 2003.
ROHANI ARSHAD menunjukkan trofi dan sijil Anugerah Tokoh Jururawat Seri Zamrud 2008 di Kuala Lumpur.
Kini, beliau sedang mengorak langkah untuk mendapat ijazah doktor falsafah dalam bidang pendidikan.
Menurut Rohani, sikap dan pandangan orang ramai terhadap jururawat
telah mula berubah dengan baiknya dalam tahun-tahun kebelakangan ini.
"Pada zaman selepas merdeka, ramai yang menganggap tugas jururawat
sekadar memberi makan dan memandikan pesakit. Sekarang, mereka tahu
tugas dan tanggungjawab jururawat amat berat di mana jururawat
bertanggungjawab dalam membuat diagnosis kejururawatan," katanya.
"Jangan salah faham, diagnosis penyakit adalah tanggungjawab doktor.
"Jururawat adalah orang yang tahu tentang apa yang perlu dibuat
apabila pesakit mengalami keadaan kecemasan. Contohnya, jika tekanan
darah seorang pesakit tiba-tiba melonjak dengan tinggi, jururawat yang
bertugas perlu memberikan rawatan segera kerana ketika itu doktor
mungkin tiada dalam wad," kata Rohani.
Beliau menjelaskan di negara lain, jururawat diberi tugas yang lebih
besar, misalnya di Botswana di selatan Afrika, di mana Menteri
Kesihatannya adalah seorang jururawat.
"Mungkin satu hari kelak, Malaysia akan menyaksikan seorang senator
pertama dilantik daripada kalangan jururawat profesional," kata Rohani.
- Bernama
Oleh ZULKIPLE IBRAHIM
Comments: 9