FORUM PARAMEDIK
Selamat melayari Forum Paramedik,

Dengan mendaftar keahlian di Forum Paramedik, anda akan mendapat lebih informasi dan juga boleh berkomunikasi dengan ahli-ahli forum yang lain.

meriahkan forum paramedik dengan mendaftar keahlian anda disini.

Terima Kasih.

Keunikan Terowong Angin Semulajadi Di Gua Tempurung

View previous topic View next topic Go down

Keunikan Terowong Angin Semulajadi Di Gua Tempurung

Post by Info Bola Sepak on Wed 27 May 2015, 10:51 am

Oleh Shaidathul Suhana Ros

KUALA LUMPUR (Bernama) -- Bagi pencinta alam yang gemarkan aktiviti lasak termasuk menerokai alam semulajadi seperti gua, tidak harus melepaskan peluang untuk berbuat demikian di Gua Tempurung yang terletak di Gopeng, Perak.

Jika melalui lebuh raya Utara Selatan (PLUS) di Gopeng, gua yang berketinggian kira-kira 497 meter dari aras laut dan terbentuk daripada struktur batu kapur asli yang terbesar di negara ini dapat dilihat dengan jelas.

Berusia lebih 400 juta tahun, nama Gua Perah atau lebih dikenali sebagai Gua Tempurung diambil berdasarkan lima kubah gua yang seolah-olah menyerupai bawah tempurung kelapa.

Namun, jika isi gua itu diterokai apa yang difikirkan semasa dilihat dari luaran ia agak unik daripada gua lain yang terdapat di Malaysia kerana mempunyai terowong angin semulajadi.

Baru-baru ini penulis berkesempatan mengikuti program Discover Perak 2015 anjuran bersama Tourism Perak dan majalah Gaya Travel menerokai keunikan itu.

TEROWONG ANGIN SEMULAJADI

Setelah berjalan kaki selama 40 minit sejauh 450 meter melalui trek yang disediakan, akhirnya penulis tiba di platform empat iaitu terowong angin semulajadi sepanjang 30 meter dan berada di ketinggian 90 meter dari aras laut.

Setibanya di situ, kepenatan penulis terubat tatkala merasai suasana nyaman kerana angin yang menembusi terowong ini sangat sejuk dan nyaman seolah-olah terasa berada di puncak gunung.

Renjer gua yang menjadi juru pandu kumpulan penulis, Mohd Syakir Ahmad, menjelaskan bahawa angin nyaman itu datang dari dua arah bertentangan iaitu melalui pintu masuk dan pintu keluar gua tersebut, pertembungan ini akan memberi suasana angin pelbagai arah.

"Kelajuan angin di ruang ini banyak dipengaruhi cuaca di luar gua. Jika waktu hujan, angin di sini menjadi lebih kuat dan sejuk begitulah sebaliknya. Oleh itu, lokasi ini menjadi lokasi popular untuk berehat bagi semua pengunjung," katanya kepada Bernama.

Mohd Syakir berkata mitos mengatakan bahawa udara sejuk tersebut adalah hembusan dari seekor naga, namun secara saintifiknya ia adalah proses 'stimmer' iaitu proses pertembungan udara panas di luar gua dan udara sejuk di dalam gua yang menghasilkan wap air.

PELBAGAI FORMASI BATU KAPUR

Menerusi penerokaan di dalam Gua Tempurung juga, penulis berpeluang menyaksikan sendiri keunikan stalaktit dan stalagmit yang menyerupai figura-figura ternama di dunia antaranya Monalisa, Osama bin Laden dan Casper iaitu watak filem animasi popular tahun 1995.

Lebih mempesonakan, ada di antara pembentukan batuan itu yang menyerupai imej seakan-akan haiwan seperti ikan lumba-lumba, kuda laut dan ayam serta bahagian-bahagian tertentu pada tubuh manusia iaitu kepala, tangan, dan pelbagai jenis kenderaan.

Kejutan yang paling mengujakan penulis adalah bentuk sebuah stalagmit yang besar seakan-akan menyerupai wanita mengandung berambut panjang sedang berdiri memegang perutnya.

Menurut Mohd Syakir, larutan air batu kapur dan batu marmar yang terdapat di kawasan sungai gua itu menghasilkan pelbagai pembentukan stalaktit dan stalagmit yang indah dan mempesonakan.

"Manakala najis-najis kelawar yang bercampur dengan kencingnya menghasilkan pelbagai lukisan-lukisan abstrak semula jadi di bumbung dan dinding gua," katanya.

KEUNIKAN LAIN

Sepanjang meneroka ke dalam gua, mata penulis terpukau dengan keunikan dinding-dinding gua yang terhasil di satu sudut khas berpunca daripada pemadatan pasir-pasir halus seperti kristal manakala, dinding gua yang basah dan berair menghasilkan kilauan apabila terkena suluhan lampu.

Selain itu, perasaan penulis menjadi teruja apabila terlihat peralatan melombong seperti cangkul yang menjadi peninggalan daripada aktiviti melombong bijih timah, dan menurut renjer gua, cangkul itu ditemui ketika gua ini diterokai.

Terdapat juga tulisan yang tidak difahami di dinding Gua Tempurung yang mempunyai kira-kira 1,200 anak tangga itu membuktikan ia pernah menjadi tempat persembunyian komunis dari tahun 1950 hingga 1960.

Mohd Syakir berkata Gua Tempurung yang mempunyai 10 platform itu adalah gua utama di banjaran ini, yang berlingkar di dalam perut Gunung Tempurung di mana di dalamnya terdapat satu terowong dari timur menembusi ke barat sepanjang 1.9 km.

Tambahnya, segala keunikan Gua Tempurung mampu menarik lebih ramai pengunjung ke Perak sekaligus memenuhi sasaran 5.5 juta pelancong ke negeri ini pada tahun ini.

"Saya percaya sasaran itu boleh dicapai memandangkan Perak mempunyai tarikan pelancongan yang cukup baik daripada sudut sejarah, warisan dan budaya termasuk Gua Tempurung ini yang menjadi produk pelancongan gua batu kapur," katanya.

EKSPLORASI PILIHAN PELANCONGAN

Sementara itu, terdapat empat pakej rekreasi yang ditawarkan di Gua Tempurung iaitu Golden Flowstone, Top of the World, Top of the World & Short River Adventure dan Grand Tour yang masing-masing bersama renjer gua.

Pakej Golden Flowstone (Harga: RM8 dewasa, RM4 kanak-kanak dan warga emas) adalah lawatan ringkas yang mengambil masa 40 minit perjalanan pergi dan balik bermula dari pintu utama ke platform tiga dengan menaiki tangga dan trek yang disediakan.

Bagi pakej Top of the World (Harga: RM12.00 dewasa, RM6.00 kanak-kanak dan warga emas), lawatan mengambil masa selama satu jam 45 minit perjalanan pergi dan balik bermula dari pintu utama ke platform lima dan kembali melalui laluan yang sama.

Top of the World & Short River Adventure (Harga: RM15.00 dewasa, RM7.50 kanak-kanak dan warga emas) pula adalah pakej bagi aktiviti lasak berkumpulan yang memakan masa selama dua jam 30 minit, pergi dan kembali melalui perjalanan sejauh 1.2 km bermula dari pintu utama ke platform lima, kemudian kembali melalui laluan sungai.

Manakala pakej Grand Tour (Harga: RM30 dewasa, RM15 kanak-kanak dan warga emas) adalah aktiviti berkumpulan yang juga lasak melalui perjalanan sejauh 1.9 km dalam masa tiga jam 30 minit pergi dan kembali bermula pintu utama ke platform 10, menempuh pelbagai cabaran lasak dan kemudian kembali melalui laluan sungai.

Diuruskan oleh syarikat APT Consortium Sdn Bhd, Gua Tempurung lengkap dengan pelbagai kemudahan asas seperti gerai makanan dan minuman, tandas dan bilik mandi, kawasan letak kenderaan serta khidmat pemandu pelancong.

-- BERNAMA
avatar
Info Bola Sepak
STAFF PEMUDAH CARA (JR)
STAFF PEMUDAH CARA (JR)

Negeri :
Jawatan : Penyerang Sensasi Kebangsaan
Gender : Male
Jumlah Post : 482
Umur : 27
Tarikh Register : 10/12/2011
Reputation : 5
Points : 4049

View user profile

Back to top Go down

View previous topic View next topic Back to top


 
Permissions in this forum:
You cannot reply to topics in this forum