FORUM PARAMEDIK
Selamat melayari Forum Paramedik,

Dengan mendaftar keahlian di Forum Paramedik, anda akan mendapat lebih informasi dan juga boleh berkomunikasi dengan ahli-ahli forum yang lain.

meriahkan forum paramedik dengan mendaftar keahlian anda disini.

Terima Kasih.

Merokok Di Tempat Awam Nafikan Hak Asasi

View previous topic View next topic Go down

Merokok Di Tempat Awam Nafikan Hak Asasi

Post by Info Bola Sepak on Tue 12 Feb 2013, 5:12 pm


Oleh Noor Adila Ali

KUALA LUMPUR, 6 Feb (Bernama) -- Merokok di tempat awam adalah perbuatan mencabul hak asasi manusia.

"Kerana mementingkan diri, perokok memaksa orang lain yang berada di sekitarnya menjadi perokok pasif apabila menyedut asap rokok yang basi, kotor dan beracun," kata Ketua Unit Kawalan Tembakau & Konvensyen Rangka Kerja Kawalan Tembakau (FCTC), Kementerian Kesihatan Dr Zarihah Mohd Zain.

Beliau berkata asap rokok basi telah dikategorikan sebagai racun karsinogen kelas A oleh agensi pelindungan persekitaran Amerika Syarikat.

Kebanyakan perokok di tempat awam hanya memikirkan matlamat untuk menghabiskan sebatang rokok bagi memuaskan nafsu ketagihannya tanpa menghiraukan hak dan keselesaan orang awam.

MEMAKSA ORANG LAIN

Dr Zarihah yang kini pensyarah di Lincoln University College, Petaling Jaya, berkata menurut kajian Global Adult Tobacco Survey (GATS) oleh kementerian pada 2011, perokok mewakili hanya 21 peratus penduduk dewasa Malaysia.

Menurut GATS, 85.8 peratus orang dewasa di Malaysia percaya bahawa menghidu asap rokok basi boleh menyebabkan penyakit serius dalam kalangan bukan perokok.

Walaupun kesedaran dalam kalangan bukan perokok tinggi mengenai risiko itu, mereka masih boleh bertolak ansur dengan perokok yang menghembuskan asap rokok di tempat awam, dan perokok sendiri mengambil sikap tidak peduli terhadap orang lain.

Beliau berharap perokok pasif di negara ini lebih berani membuat teguran atau menyatakan hak mereka untuk menghirup udara yang tidak tercemar dengan asap rokok basi.

Beliau berkata walaupun teguran terhadap perokok yang merokok di tempat awam berkemungkinan besar mencetuskan ketegangan, namun ia sebenarnya langkah yang agak berkesan.

"Saya sendiri pernah menegur orang merokok yang melakukannya di tempat larangan merokok. Walaupun ada sedikit ketegangan pada ketika itu, si perokok yang sering saya jumpa di kedai berdekatan tempat kerja kami, tidak pernah lagi saya lihat sedang atau cuba untuk merokok, walaupun beliau tidak menyedari kehadiran saya," katanya.

PENTINGKAN DIRI

Berkongsi pandangan yang sama, seorang peniaga makanan di pasar tani, Hamdan Hamzah, 42, berkata beliau juga mengakui kebanyakan perokok bersikap mementingkan diri sendiri dengan merokok di tempat awam tanpa mempedulikan keselesaan orang lain.

Justeru, katanya, teguran secara berdepan adalah cara terbaik untuk memberitahu perokok tentang ketidakselesaan yang dialami.

"Bekerja di pasar tani yang merupakan tempat terbuka memang banyak terdedah kepada asap rokok, sebab itulah saya terpaksa juga membuka mulut kepada perokok supaya tidak merokok di hadapan saya dan pelanggan lain.

"Kadangkala ada pelanggan yang 'lari' selepas ditegur tetapi bagi saya, selagi teguran yang dibuat dengan baik dan bukan bertujuan memalukan, saya tidak kisah," katanya.

Bagi seorang suri rumah, Vanessa Lee, 37, ibu kepada dua orang anak, beliau kerapkali terpaksa menjadi individu cerewet dalam memilih tempat atau restoran makanan kerana faktor asap rokok.

PEROKOK DI TEMPAT AWAM

"Pernah terjadi, selepas masuk ke sebuah restoran, saya bersama suami dan anak-anak terpaksa keluar semula kerana tidak tahan dengan bau asap rokok yang kuat apatah lagi restoran itu berhawa dingin. Sangat menyesakkan dada apatah lagi untuk anak-anak saya yang baru berusia tiga tahun dan empat bulan," katanya.

Sambil meluahkan kekesalan, beliau berkata meskipun jelas terpampang papan kenyataan larangan merokok di restoran berkenaan, namun pengusaha restoran seolah-olah mengambil ringan dengan hanya membiarkan suasana restoran diselubungi asap rokok.

Penjawat awam Mohd Zarol Bukhari Abdul Razak, 22, berkata beliau menyokong langkah kerajaan mengenakan cukai yang tinggi terhadap perokok demi mengurangkan jumlah perokok.

"Saya sebagai generasi muda yang tidak merokok, tidak mahu diri saya dan keluarga saya menjadi perokok pasif dan mewarisi penyakit yang bukan kami lakukan," katanya, yang mengakui banyak pihak perlu terlibat dalam mencari jalan mengatasi tabiat merokok di tempat awam itu.

Seorang ahli fisioterapi, Nor Suhaizreen Sauti, 23, yang kini mengandung anak sulung berusia lima bulan berkata beliau juga tidak sanggup menanggung risiko kandungannya menghidapi penyakit kronik kerana beliau menyedut asap rokok ketika berada di tempat awam.

APA PERASAAN PEROKOK?


Seorang perokok tegar, Muhd Faiz Ali, 33, mengakui beliau tidak dapat meninggalkan tabiat merokoknya namun sedaya upaya cuba tidak merokok di hadapan khalayak awam.

Namun bapa kepada tiga anak lelaki ini berkata adakalanya beliau terlupa dan tetap juga merokok di tempat awam dan teguran daripada isteri dan orang terdekat mampu mengingatkannya.

Meskipun begitu, katanya, perokok sepertinya tidak harus terlalu sensitif apabila ditegur kerana perlu menghormati hak masyarakat yang tidak mahu terdedah kepada asap rokok.

Sementara itu Dr Zarihah berkata Kementerian Kesihatan serius dalam mengurangkan jumlah perokok dengan menguatkuasakan larangan merokok di tempat awam dan menjalankan kempen 'Tak Nak Merokok'.

"Kementerian sedang dan akan terus mencuba untuk meningkatkan kemampuan penguatkuasaan tetapi setiap pihak turut juga memainkan peranan bagi memastikan perokok mematuhi undang-undang yang ditetapkan," katanya.

-- BERNAMA
avatar
Info Bola Sepak
STAFF PEMUDAH CARA (JR)
STAFF PEMUDAH CARA (JR)

Negeri :
Jawatan : Penyerang Sensasi Kebangsaan
Gender : Male
Jumlah Post : 482
Umur : 27
Tarikh Register : 10/12/2011
Reputation : 5
Points : 4162

View user profile

Back to top Go down

View previous topic View next topic Back to top


 
Permissions in this forum:
You cannot reply to topics in this forum