FORUM PARAMEDIK
Selamat melayari Forum Paramedik,

Dengan mendaftar keahlian di Forum Paramedik, anda akan mendapat lebih informasi dan juga boleh berkomunikasi dengan ahli-ahli forum yang lain.

meriahkan forum paramedik dengan mendaftar keahlian anda disini.

Terima Kasih.

Jururawat Lelaki - Insan Berjasa Jarang Didendang

View previous topic View next topic Go down

Jururawat Lelaki - Insan Berjasa Jarang Didendang

Post by Info Bola Sepak on Sat 25 May 2013, 7:04 pm



Gambar Hiasan
Oleh Norhayati Mohd Akhir

KUALA LUMPUR (Bernama) -- 'Jururawat? Kenapa bukan ahli farmasi, doktor atau kerja lain yang sesuai dengan lelaki?," itu antara kata-kata yang sering diterima kaum Adam yang memilih jururawat sebagai kerjaya.

Kini kata-kata itu tidak lagi menjadi penghalang kepada kaum Adam untuk bersama-sama kaum Hawa mencurahkan bakti dalam bidang kejururawatan.

Malah mereka tidak perlu takut jika dikata hilang ciri 'kelelakian' apabila memilih kerjaya berkenaan kerana pilihan yang dibuat mampu memberi seribu sinar kepada pesakit yang memerlukan khidmat jururawat selain menepis persepsi masyarakat umum yang melihat jururawat lelaki dari sudut negatif.

Kebelakangan ini, ramai kaum Adam memilih kerjaya sebagai jururawat dan mengubah persepsi masyarakat dengan penerimaan positif kepada jururawat lelaki.

DARI DUNIA BOLA SEPAK KE DUNIA JURURAWAT

Keputusan Mohamad Hafiz Mustafaa Kamal, 27, untuk menceburi dunia kejururawatan menjadi satu kebanggaan bagi beliau yang sebelum ini aktif bermain bola sepak di negeri kelahiran Perak Darul Ridzuan.

Anak muda kelahiran Ipoh itu telah enam tahun berkhidmat sebagai jururawat di Hospital Pantai, Kuala Lumpur setelah nekad untuk meninggalkan dunia bola sepak pada tahun 2005.

Hafiz yang sebelum ini aktif bermain bola sepak mewakili Pasukan Belia Perak mendapat sokongan daripada keluarga terutama ibunya untuk berkhidmat sebagai 'hero' di hospital selepas mengalami kecederaan di bahagian buku lali lapan tahun lepas.

Bekas pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Anderson itu menjadikan ibunya sebagai idola dan kekuatan untuk terus berkhidmat dalam bidang kejururawatan dan melihat prospek cerah dalam kerjaya yang diceburi.

"Ibu saya menjadi orang kuat berdiri di belakang saya lantaran pada mulanya ramai kawan tidak dapat menerima keputusan saya untuk memilih jururawat sebagai kerjaya," katanya kepada penulis.

KENANGAN MANIS APABILA DIHARGAI

Mengimbas kembali detik manis sebagai jururawat di Jabatan Hemodialisis, anak tunggal itu berkata beliau amat terharu apabila seorang pesakit yang menjalani rawatan buah pinggang menyebut nama-nama jururawat sebelum menghembus nafas terakhir.

"Sewaktu itu, pesakit berkenaan ada juga menyebut nama saya selain beberapa nama jururawat lain yang selama ini menjaga beliau," kata Hafiz dalam nada terharu.

Hafiz berkata beliau serta rakan sejawatan lain akan merasai satu kepuasan maksimum apabila melihat pesakit pulang ke rumah masing-masing dalam keadaan yang segar serta sihat.

Menurut Hafiz, bidang yang diceburi beliau itu banyak memberi pengajaran serta pengalaman berharga walaupun terpaksa berkorban dalam beberapa perkara seperti jadual waktu kerja yang tidak menentu selain perlu bekerja pada Hari Raya.

"Setakat ini sudah dua kali saya tidak dapat pulang berhari raya bersama ibu di kampung, tetapi ibu saya faham dengan kerjaya saya dan beliau tetap terus menyokong saya," katanya.

CUBA SESUATU YANG BAHARU SERTA BERLAINAN

Menganggap jururawat sebagai satu bidang yang istimewa, S. Thomasraj menyifatkan penglibatan beliau dalam bidang itu sebagai sesuatu perkara amat berharga yang pernah beliau lakukan sepanjang hidup.

"Bagi masyarakat umum, jururawat adalah kerjaya perempuan. Tapi saya pandang pada persepsi lain yang mana kerjaya ini mampu memberi peluang cerah kepada saya selain dapat menyelamatkan pesakit," kata anak muda berusia 22 tahun itu.

Walaupun baru setahun berkhidmat di Jabatan Hemodilisis, Hospital Pantai Kuala Lumpur namun anak sulung daripada tiga beradik lelaki itu telah melalui pelbagai pengalaman berharga yang tidak mungkin dialami sekiranya beliau tidak memilih kerjaya kejururawatan.

Mengambil keputusan untuk menjadi jururawat selepas menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) pada 2008, Thomasraj kemudian melanjutkan pelajaran di peringkat diploma di Kolej Perubatan Pantai dekat sini dalam bidang kejururawatan.

"Bayangkan ada lima pelajar lelaki sahaja dalam kelas, kami perlu bersaing dengan pelajar perempuan yang semuanya pandai," katanya.

Berpendapat bahawa bidang tersebut mampu memberi kesedaran kepada diri seseorang apabila melihat kesakitan yang ditanggung pesakit, Thomasraj berkata beliau mengambil beberapa iktibar daripada kesakitan yang ditanggung pesakit khususnya pesakit buah pinggang.

Ia menimbulkan kesedaran agar beliau mengutamakan aspek kesihatan dengan mengamalkan cara hidup dan pengambilan makanan yang sihat.

KERJAYA PENUH CABARAN

Bagi Kunal Kumar Bedhi Chand, 24, beliau telah tiga tahun berkhidmat sebagai jururawat di Jabatan Kecemasan dan menganggap kerjaya tersebut dipenuhi pelbagai cabaran namun menjanjikan kepuasan apabila melihat pesakit kembali pulih.

Mendapat pendidikan kejururawatan di Kolej Perubatan Pantai pada 2010, Kunal Kumar berkata setiap hari beliau serta rakan sejawatan akan berhadapan dengan pelbagai situasi yang tidak dijangka di Jabatan Kecemasan.

"Kami perlu sentiasa bersedia dari segi mental dan fizikal agar perjalanan kerja kami lancar dan dapat memberi perkhidmatan terbaik kepada pesakit," kata anak muda kelahiran Bandar DiRaja Klang itu.

Dilahirkan dalam keluarga kecil, anak kedua daripada tiga beradik itu menasihati kaum Adam yang mempunyai impian sama seperti beliau agar tidak segan silu atau kekok dengan kerjaya yang semakin diterima masyarakat.

Beliau berkata, kerjaya tersebut memberi seribu satu pengalaman selepas menghadapi pelbagai cabaran serta karenah pesakit.

"Kita perlu bijak berkomunikasi dengan pesakit, dengar luahan mereka terlebih dahulu kemudian kita dapat bantu pesakit dengan kaedah atau prosedur tertentu," katanya yang menyimpan cita-cita untuk melanjutkan pelajaran dalam bidang kejururawatan di peringkat ijazah.

-- BERNAMA
avatar
Info Bola Sepak
STAFF PEMUDAH CARA (JR)
STAFF PEMUDAH CARA (JR)

Negeri :
Jawatan : Penyerang Sensasi Kebangsaan
Gender : Male
Jumlah Post : 482
Umur : 27
Tarikh Register : 10/12/2011
Reputation : 5
Points : 4049

View user profile

Back to top Go down

View previous topic View next topic Back to top


 
Permissions in this forum:
You cannot reply to topics in this forum