FORUM PARAMEDIK
Selamat melayari Forum Paramedik,

Dengan mendaftar keahlian di Forum Paramedik, anda akan mendapat lebih informasi dan juga boleh berkomunikasi dengan ahli-ahli forum yang lain.

meriahkan forum paramedik dengan mendaftar keahlian anda disini.

Terima Kasih.

Malaysia Antara Yang Teratas Tangani Kematian Ibu Bersalin

View previous topic View next topic Go down

Malaysia Antara Yang Teratas Tangani Kematian Ibu Bersalin

Post by Info Bola Sepak on Tue 28 May 2013, 5:38 pm


Oleh Kurniawati Kamarudin

PUTRAJAYA,(Bernama) -- Bagi kaum ibu yang tinggal di kawasan pedalaman dan kampung, kedatangan Jururawat Desa ke rumah amat dinantikan setiap kali selepas melahirkan anak.

Selain melakukan pemeriksaan, jururawat yang biasanya menaiki motosikal mahupun berjalan kaki akan memberi khidmat nasihat mengenai penjagaan kesihatan dan pemakanan bagi memastikan ibu, yang baru melahirkan anak, kembali sihat dengan cepat.

Penempatan jururawat di klinik desa seluruh negara adalah sebahagian usaha yang dijalankan oleh kerajaan selepas merdeka lagi bagi meningkatkan kesihatan penduduk terutama dalam kalangan wanita.

Ia bagi mengurangkan kadar kematian ibu bersalin yang dikesan dahulunya berpunca bersalin di rumah tanpa peralatan perubatan yang sempurna dan bersih serta bidan terlatih.

Kini, pada saat banyak negara lain masih bergelut membendung masalah kematian ibu bersalin, Malaysia telah mencapai kemajuan yang pantas ke arah mengurangkan masalah itu.

Buktinya Malaysia berjaya mengurangkan kematian ibu bersalin sebanyak 45 peratus iaitu daripada 53 kematian bagi setiap 100,000 kelahiran hidup pada tahun 1990 kepada 29 orang pada 2010.

KONGSI KEJAYAAN MALAYSIA

Kejayaan itu adalah antara faktor Malaysia dipilih menjadi negara Asia pertama menjadi tuan rumah persidangan "Global Women Deliver 2013" ketiga selama tiga hari mulai 28 Mei ini.

Pengarah Bahagian Pembangunan Kesihatan Keluarga, yang juga sekretariat persidangan, To'Puan Dr Safurah Jaafar berkata kejayaaan Malaysia melalui usaha dan strategi yang dilakukan bagi mengurangkan kematian ibu bersalin menarik minat penganjur memilih Malaysia kali ini.

Mereka ingin berkongsi kaedah yang digunakan Malaysia bagi menyelesaikan isu itu, katanya.

"Dalam kalangan negara membangun lain, Malaysia paling berjaya dalam usaha memastikan keselamatan ibu bersalin bermula ketika mengandung, bersalin dan selepas bersalin.

"Statistik menunjukkan Malaysia telah melakukan usaha terbaik ke arah itu dan persidangan berkenaan akan menjadi platform untuk berkongsi pengalaman dan idea," katanya kepada Bernama di sini.

CABARAN MALAYSIA

Dasar kerajaan sejak Rancangan Malaysia pertama dan kedua yang memberi keutamaan bagi meningkatkan tahap kesihatan masyarakat terutama kawasan kampung dan pedalaman telah menyaksikan banyak kemudahan kesihatan dibina antaranya klinik desa, klinik bidan dan hospital.

Ia menjadi satu agenda negara yang mana tidak banyak negara di dunia terutama negara yang sedang membangun melaksanakannya. Ini kerana ia melibatkan kos dan peruntukan yang tinggi untuk membangunkan kemudahan dan perkhidmatan berkenaan.

"Apa yang kita lakukan sejak dahulu, bukan sahaja wanita perlu pergi ke klinik untuk pemeriksaan berkala ketika mengandung, sebaliknya jururawat turut datang ke rumah menjalankan pemeriksaan kepada ibu yang baru bersalin.

"Kemudahan yang disediakan lengkap untuk meningkatkan tahap kesihatan ibu dan anak," katanya.

Selain itu, bersesuaian dengan keadaan dan keperluan semasa, perkhidmatan yang lebih 'mobile' turut disediakan melalui laluan darat, udara dan air untuk sampai ke kumpulan sasaran seperti kawasan pedalaman di Sabah dan Sarawak.

Contohnya, di beberapa kawasan Sabah dan Sarawak, perkhidmatan penghantaran doktor melalui pengangkutan udara dipraktikkan sekurang-kurangnya sekali atau dua kali sebulan.

Kaedah ini ternyata memberi manfaat sekurang-kurangnya kepada 100 penduduk kampung di kedua-dua negeri itu.

"Millenium Development Goal (MDG) menyasarkan peningkatkan kesihatan bersalin dengan menetapkan jumlah mengurangkan kematian kepada 11 orang bagi setiap 100,000 kelahiran pada tahun 2015.

"Untuk tempoh dua tahun sebelum sasaran itu, Malaysia akan meneruskan apa yang telah dilaksanakan sebelum ini dan akan cuba mengatasi kekangan dan cabaran bagi mencapai sasaran itu," katanya.

TINGKATKAN KESEDARAN

Jika dahulu, kekurangan ilmu pengetahuan antara masalah utama kematian ibu-ibu bersalin, namun dengan tahap pendidikan yang semakin tinggi ia bukan lagi menjadi kekangan utama.

Mengakui bukan mudah mencapai sasaran yang ditetapkan oleh MDG itu, Dr Safurah berkata kini tumpuan diberikan kepada masalah kecil terutama meningkatkan kesedaran ibu.

Kebanyakan kes kematian ibu bersalin disebabkan komplikasi kesihatan yang dialami seperti masalah darah tinggi, jantung dan seumpama yang kadangkala tidak diketahui oleh ibu.

"Kita faham, apabila berkahwin sudah tentu ingin membina keluarga dengan melahirkan zuriat sendiri. Jadi mereka yang mempunyai masalah kesihatan lebih awal patut dinasihatkan supaya tidak mengandung. Namun itu bukan perkara yang mudah," katanya merancang keluarga bukan bermakna menghadkan jumlah kelahiran.

Oleh itu, Kementerian Kesihatan menyasarkan kepada ibu-ibu yang dikenalpasti menghadapi masalah dan komplikasi kesihatan untuk merancang keluarga terutama dengan menjarakkan tempoh mengandung sekurang-kurangnya dua tahun.

Ini bagi memastikan badan dapat berehat secukupnya serta dapat menumpukan kepada penyusuan bayi sekurang-kurangnya enam bulan secara eksklusif.

"Kerana itu ibu-ibu perlu mengenalpasti masalah kesihatan yang dihadapi lebih awal dengan membuat pemeriksaan di hospital.

"Mereka perlu datang membuat pemeriksaan pada usia 12 minggu atau tiga bulan setelah tidak datang haid untuk pemeriksaan berkala sehingga bersalin," katanya.

Langkah itu penting agar doktor dapat memantau keadaan kesihatan mereka dengan lebih dekat terutama memberi khidmat nasihat apa yang perlu dan tidak boleh dilakukan serta pemakanan yang sesuai untuk memastikan kesihatan mereka.

Selain itu, pihak hospital juga perlu memaklumkan kepada klinik berdekatan untuk ibu datang membuat pemeriksaan susulan selepas bersalin.

Ia turut diparktikkan bukan sahaja di hospital kerajaan malah hospital swasta, katanya.

PERSIDANGAN

Tiga tema akan dibincangkan pada persidangan kali ini, yang melibatkan 5,000 perwakilan dari 150 buah negara, iaitu wanita, keperluan yang belum dipenuhi bagi perancangan keluarga dan Rangka Kerja Pembangunan Pasca 2015.

Bertempat di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (PICC) akan disertai penceramah hebat seluruh dunia antaranya Melinda Gates yang merupakan pengasas bersama Yayasan Bill & Melinda Gates, bekas Presiden Chile, Michelle Bachelet dan Puteri Mahkota Mette-Marit dari Norway.

Penceramah lain ialah anggota Parlimen Kemboja MuSochua, Anuradha Gupta dari Kementerian Kesihatan India dan Gita May dari Kementerian Kesihatan Indonesia.

Women Deliver adalah pertubuhan yang tidak bermatlamatkan keuntungan serta memberi fokus kepada kesihatan wanita. Ia menjadi forum berpengaruh untuk memperjuangkan kepentingan kanak-kanak perempuan dan wanita pada tahun-tahun mendatang.

Negara yang akan mengambil bahagian termasuk 10 buah negara yang menyatakan komitmen pada Sidang Perancangan Keluarga London iaitu Ghana, Indonesia, India, Benin, Afrika Selatan, Ethiopia, Tanzania, Rwanda, Senegal, Burkina Faso, Niger dan Nigeria.

Turut diadakan ialah pameran yang disertai lebih 100 pempamer sepanjang persidangan berlangsung.

Dengan kerjasama Kementerian Kesihatan, Sekreteriat Persidangan akan turut menganjurkan lawatan tapak untuk pelbagai peserta termasuk media.

Mereka yang ingin mendapatkan maklumat lanjut mengenai Women Deliver, boleh melayari laman sesawang www.womendeliver.org.

-- BERNAMA
avatar
Info Bola Sepak
STAFF PEMUDAH CARA (JR)
STAFF PEMUDAH CARA (JR)

Negeri :
Jawatan : Penyerang Sensasi Kebangsaan
Gender : Male
Jumlah Post : 482
Umur : 27
Tarikh Register : 10/12/2011
Reputation : 5
Points : 4074

View user profile

Back to top Go down

View previous topic View next topic Back to top


 
Permissions in this forum:
You cannot reply to topics in this forum