FORUM PARAMEDIK
Selamat melayari Forum Paramedik,

Dengan mendaftar keahlian di Forum Paramedik, anda akan mendapat lebih informasi dan juga boleh berkomunikasi dengan ahli-ahli forum yang lain.

meriahkan forum paramedik dengan mendaftar keahlian anda disini.

Terima Kasih.

Ramaikan Bidan Untuk Tangani Kematian Ibu Mengandung

View previous topic View next topic Go down

Ramaikan Bidan Untuk Tangani Kematian Ibu Mengandung

Post by Info Bola Sepak on Thu 27 Jun 2013, 5:12 am


Oleh Melati Mohd Ariff

KUALA LUMPUR, 26 Jun (Bernama) -- Keraya Esimeal, Amina Bedru, Nalumu Scovia Duku dan Benneth Marona Elia berkongsi aspirasi yang sama, mahu menjadi bidan.

Mereka ini adalah antara yang terpilih untuk mengikuti kursus perbidanan di bawah "Kempen Stand Up for African Mothers (SU4AM)" anjuran African Medical and Research Foundation (AMREF).

Masing-masing mempunyai alasan untuk menjadikan bidan sebagai kerjaya dan kisah mereka ini dipaparkan dalam buku sebaran bertajuk 'Training to Save Africa's Future' yang dihasilkan AMREF.

Keraya, 25, sebagai contoh berasal dari komuniti Afari, Ethiopia di mana terdapat banyak masalah kesihatan terutama kadar kematian yang tinggi dalam kalangan wanita mengandung.

Tamat sekolah tinggi, beliau memilih untuk mengikuti latihan menjadi pekerja kesihatan. Pada 2010, Keraya menyertai Semera Health Science College, Afar, Ethiopia untuk dilatih sebagai bidan.

Keraya berharap selepas tamat latihan perbidanan, beliau dapat berkhidmat di kampung halamannya untuk membantu mengurangkan kematian dalam kalangan wanita mengandung.

HARAPKAN PERUBAHAN

Amina, 20, yang mengikuti latihan perbidanan di kolej yang sama seperti Keraya memilih kerjaya ini setelah melihat begitu ramai ibu di kampungnya yang mengalami pendarahan melampau sewaktu melahirkan bayi mereka.

Beliau menyertai program latihan perbidanan itu selepas tamat sekolah tinggi.

Bagi Nalumu, 24, pula minat untuk menjadi bidan timbul selepas beliau melihat ibu saudaranya meninggal dunia sewaktu melahirkan bayinya.

Beliau juga bertekad untuk menjadi bidan apabila melalui pengalaman buruk dikasari bidan di pusat kesihatan sewaktu mahu melahirkan anaknya.

Azam Nalumu ialah untuk memberi perkhidmatan yang baik kepada ibu-ibu mengandung.

Benneth Marona Elia, 25, mungkin seorang lelaki tetapi beliau juga berkongsi aspirasi untuk menjadi bidan.

Beliau dipetik dalam buku sebaran itu sebagai berkata minatnya dalam bidang perbidanan bermula setelah melihat sepupunya menderita ketika mahu melahirkan bayinya.

Benneth juga mahu mengubah tanggapan masyarakat di kampung halamannya iaitu lelaki tidak boleh menjadi bidan yang baik.

MENGUBAH AFRIKA

Anak muda yang berhati waja seperti Keraya, Amina, Nalumu dan Benneth serta pelajar perbidanan yang lain menjadi tunggak harapan AMREF untuk memberi khidmat kesihatan yang terbaik untuk rakyat Afrika terutama wanita yang mengandung.

Penulis mengenali AMREF, antara lebih 100 pertubuhan yang mengambil bahagian dalam pameran yang diadakan ketika berlangsungnya Persidangan tiga hari Women Deliver 2013 di Kuala Lumpur baru-baru ini.

AMREF ditubuhkan pada 1957, yang beribu pejabat di Nairobi, Kenya dengan tujuh pejabat di seluruh benua Afrika.

Pertubuhan ini dikenali sebagai 'Doktor Terbang Timur Afrika' pada awal operasinya kerana menawarkan bantuan perubatan yang kritikal untuk komuniti di kawasan pedalaman.

Perkhidmatannya kini telah berkembang pesat dengan menyediakan pelbagai khidmat berkaitan dengan perubatan dan kesihatan.

Menurut Gaye Agesa, pegawai media dan perhubungan awam, operasi pertubuhan itu kini meliputi 33 negara seluruh Afrika.

"Kami mempunyai jaringan kerja yang luas. Perkhidmatan kami menjurus terutama dalam bidang kesihatan wanita mengandung dan pihak kami juga menyediakan khidmat klinik.

"Pertubuhan ini juga mempunyai projek air dan sanitasi untuk meningkatkan mutu kesihatan rakyat Afrika," Gaye memberitahu penulis.

Beliau turut menyatakan bahawa pertubuhan itu juga percaya kuasa untuk menukar situasi kesihatan Afrika bergantung kepada masyarakatnya terutama wanita dan kanak-kanak.

Meskipun AMREF melatih lebih 500,000 pekerja kesihatan termasuk bidan dalam tempoh 50 tahun lepas, usaha perlu dipergiatkan untuk menangani kadar kematian tinggi dalam kalangan ibu Afrika ketika kehamilan dan melahirkan bayi.

Pada 2010, sekitar 162,000 wanita maut ketika hamil dan melahirkan di wilayah Sahara, benua Afrika iaitu 56 peratus daripada jumlah seluruh dunia.

KEMPEN AMREF

Menjelaskan Kempen Stand Up For African Mother (SU4AM), Victoria Kimotho, penyelaras kempen memberitahu Bernama, pihaknya menyasarkan 13 negara Afrika untuk perlaksanaan kempen yang bermula 2011.

Negara-negara itu ialah Angola, Kenya, Uganda, Tanzania, South Sudan, Ethiopia, Malawi, Burundi, Zambia, Rwanda, Lesotho, Mozambique dan Senegal.

"Sasaran kami ialah untuk melatih 15,000 bidan antara 2011 dan 2015. Negara-negara itu akan memainkan peranan besar dalam program ini dan mereka juga menguruskan pengambilan calon untuk program ini.

"Program ini akan diperluaskan ke negara lain apabila memperoleh lebih banyak pembiayaan kewangan," katanya.

Menurut Victoria, peranan AMREF dalam SU4AM, antaranya ialah untuk membantu dalam penyediaan modul latihan, jurulatih di samping mengumpul sumbangan daripada penderma.

Mengenai sekolah latihan untuk jururawat dan bidan di negara-negara yang menyertai program ini, katanya, ia diuruskan oleh kerajaan berkenaan.

Bagaimanapun, AMREF akan membantu dari segi pembesaran sekolah untuk menampung bilangan pelajar yang lebih ramai.

"Sehingga kini, hampir 5,000 orang telah dilatih. Agak perlahan tetapi bilangan ini akan bertambah tahun depan.

"Kami yakin akan dapat menyediakan 15,000 bidan menjelang 2015," tambahnya.

PELAJAR BERKUALITI

Sejak program latihan bidan ini diperkenalkan, semakin ramai pelajar lulusan sekolah tinggi seperti Keraya memohon untuk menyertainya.

Keadaan ini membolehkan lebih ramai pelajar diambil.

"Sebelum ini, daripada 1,000 permohonan, hanya 30 sahaja yang layak diterima masuk ke program ini.

"Sekarang dengan semakin ramai lulusan sekolah tinggi yang memohon, kami boleh dapat sehingga 1,000 pelajar," katanya.

Dari segi jantina, beliau menjelaskan pilihan bergantung kepada negara.

Beliau memberi contoh Kenya di mana bidan lelaki dilatih.

Bagaimanapun, kriteria pemilihan tidak berubah iaitu calon mesti tamat dengan memperoleh sijil dan dalam sesetengah kes, mereka mesti lulus dengan gred 'B' dan ke atas.

Tidak ada sebarang garis panduan mengenai umur tetapi Victoria menekankan ia bergantung kepada negara yang mengambil bahagian dalam program itu.

"Di negara saya, bidan adalah karier yang menarik. Ramai yang hendak kerja sebagai bidan," katanya.

MATLAMAT UTAMA

Matlamat utama SU4AM's jelas seperti yang dinyatakan Victoria.

Mereka mahu melihat lebih ramai wanita Afrika mempunyai akses kepada penjagaan berkualiti semasa hamil dan melahirkan anak dan tidak lagi takut untuk bersalin.

"Sekiranya dia takut mati, dia tidak akan gembira melahirkan bayinya.

"Memandangkan sekarang ini ada bidan terlatih, kaum wanita akan tahu khidmat yang ada, dan mereka mempunyai akses kepada perkhidmatan itu," katanya.

Untuk wanita yang tinggal jauh dari pusat kesihatan, AMREF menyusun langkah bagi menempatkan pekerja kesihatan di lokasi strategik.

Malah ada wanita yang berusaha untuk berpindah ke tempat yang hampir dengan pusat kesihatan apabila semakin hampir masa untuk mereka bersalin.

HADIAH KEAMANAN

Sebagai usaha untuk menarik perhatian dunia terhadap peranan bidan, AMREF sudah memulakan usaha untuk mendapatkan seorang daripada bidannya dicalonkan untuk hadiah Keamanan Noble 2015.

Seorang bidan dari Uganda, Esther Madudu dipilih untuk tujuan itu.

Menurut Victoria lagi, Esther, 34, adalah pekerja kesihatan yang begitu berdedikasi memberi khidmat kepada wanita hamil di pusat kesihatan terpencil di Atiri, Uganda.

Esther bekerja dalam keadaan yang sungguh mencabar di mana kadang-kadang dia terpaksa membantu wanita hamil melahirkan bayi tanpa bekalan elektrik, ada kalanya dengan menggunakan cahaya dari telefon bimbitnya.

Ibu kepada dua orang cahaya mata ini baru-baru ini memenangi 'the Real Award' di Amerika Syarikat. Anugerah ini diberi kepada pekerja kesihatan yang bertugas di kawasan pedalaman.

"Esther adalah simbol bidan Afrika, seorang yang biasa-biasa sahaja yang tidak menjadi bahan bualan.

"AMREF mahu peranan bidan diiktiraf di peringkat global dan jika Esther memenangi Nobel Peace Prize 2015, ia akan menjadi satu pencapaian yang besar maknanya buat kami," kata Victoria.

-- BERNAMA
avatar
Info Bola Sepak
STAFF PEMUDAH CARA (JR)
STAFF PEMUDAH CARA (JR)

Negeri :
Jawatan : Penyerang Sensasi Kebangsaan
Gender : Male
Jumlah Post : 482
Umur : 27
Tarikh Register : 10/12/2011
Reputation : 5
Points : 4045

View user profile

Back to top Go down

View previous topic View next topic Back to top


 
Permissions in this forum:
You cannot reply to topics in this forum